Sunday 18 January 2015

SEJARAH DAN RIWAYAT HIDUP TOK GAWA WAN LEH

Wan Salleh bin Wan Musa (1857 - 1955M) adalah seorang Penggawa di Kg. Amir, Kg.Raja, Besut, Terengganu suatu ketika dahulu. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Tok Wan Leh dan sesetengah orang memanggilnya dengan panggilan Tok Gawa Wan Leh. Menurut anakandanya Wan Abdul Aziz (semasa hayatnya), Tok Gawa Wan Leh ini juga adalah seorang pendekar dan merupakan seorang pahlawan diraja negeri Pahang. Beliau dikatakan pernah bertapa di atas pokok kelapa selama 3 hari 3 malam. Beliau juga membela seekor gajah dan juga kuda. Ramai murid-murid silatnya datang dari Kelantan dan Terengganu. Antara buah-buah persilatan yang diajarkan adalah Lian Timor, Silat Harimau dan Seni Buah Melayu. Disebabkan itu, beliau juga digelarkan sebagai Tok Dekar Wan Leh.

Mengikut keterangan almarhum Wan Abd Aziz, kedatangan Tok Gawa Wan Leh ke Kg. Raja, Besut sebenarnya berkait rapat dengan kedatangan 8000 orang angkatan tentera yang dipimpin oleh Sultan Omar. Angkatan ini diketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja Wan Abd.Rahman Wan Idris, saudara sepupu baginda Sultan Omar. Panglima Besar Wan Abd. Rahman dibantu oleh Tengku Yusof Panglima Kedai Payang, Pendekar Tengku Long bin Mustafa dan Tengku Nik. Manakala panglima-panglima perang pula diketuai oleh Panglima Wan Musa, Panglima Datuk Bandar Jaafar, Panglima Tok Kaya Mahkota Haji Abdul Rahman dan Panglima Tun Setia Wan Ismail Kampung Gedung.

Angkatan ini disusun untuk menyerang Besut yang di bawah pemerintahan Tengku Ali dari Kelantan. Peperangan ini berlaku disebabkan Tengku Ali cuba berbaik untuk mencari kekuatan dengan Siam. Baginda Sultan Omar telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan Siam untuk tidak campur tangan dalam pemerintahan di Besut. Baginda juga telah menghantar Mufti Hj Wan Abdullah bin Muhammad Amin ke Kelantan bagi memberikan penerangan bahawa baginda tidak mempunyai apa-apa hasrat untuk mengubah sempadan Kelantan-Terengganu. Peperangan ini dikenali dengan nama Peperangan Besut. Setelah kemenangan dicapai, Sultan Omar melantik Tengku Chik Haji memerintah Kg. Raja.

Kekeliruan berlaku dalam mengenal pasti keturunan Wan di Besut di mana ada sekumpulan pedagang dari Pattani yang diketuai oleh Encik Wan yang dikatakan berasal dari Sumatera. En. Wan ini adalah moyang kepada Haji Yusof bin Ali (bekas imam Kampung Payang, Setiu dan tinggal di Palembang, Besut. 

En. Wan beserta orang-orangnya telah membuat kampung di tepi Sungai Besut dan diberi nama Palembang. Nama itu diberi sempena negeri asalnya Palembang, Sumatera. Selepas kematian En. Wan, anaknya Wan Namat telah mengambil alih pemerintahan sebagai ketua. Wan Namat menerima tentangan hebat dari lanun-lanun hingga menyebabkan beliau terpaksa meminta bantuan dari Sultan Mansur I. Sultan Mansur I telah menghantar angkatan tentera bagi membantu dan membasmi lanun-lanun sekitar Besut. Baginda kemudian melantik anakanda baginda Tengku Abdul Kadir sebagai Raja di Besut dan Wan Namat telah dilantik sebagai pembesar daerah Besut.

Tengku Kadir memerintah pada awal 1780M - 1860M. Pemerintahan Besut kemudian berpindah kepada anakandanya Tengku Ali yang memerintah dari tahun 1860M hingga 1875M. Jika dilihat dari tarikh ini, sudah tentu kedatangan En. Wan dari Palembang, Sumatera beserta orang-orangnya adalah dalam sekitar tahun 1600M. Mengikut keterangan almarhum Wan Abd Aziz, salasilah keturunannya adalah sebagaimana berikut : Wan Abd Aziz bin Wan Mohd Salleh @ Tok Wan Salleh bin Wan Musa @ Tok Wan Musa bin Wan Ali @ Tok Wan Ali bin Wan Ahmad @ Tok Wan Ahmad. Tok Wan Salleh adalah sekitar 1857 - 1955M. Perang Besut berlaku pada tahun 1875M. Ini bermakna, sewaktu Perang Besut berlaku, Tok Wan Salleh berumur 18 tahun ketika mengikuti ayahandanya Tok Wan Musa berperang.

Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Kesultanan negeri Pahang adalah bermula dari Tun Abdul Jalil @ Sultan Abdul Jalil IV yang merupakan anak kepada Tun Abdul Majid. Tun Abdul Majid ini adalah anak kepada Bendahara Tun Mutahir dari Melaka yang melarikan diri ke Pahang.

Sedikit kisah mengenai Bendahara Tun Mutahir bin Tun Ali yang terkenal dengan gelaran Temenggung Seri Maharaja, merupakan Bendahara Melaka ke-7. Beliau dilantik menjadi bendahara selepas kematian bapa saudaranya Tun Perpatih Putih. Bapanya adalah Tun Ali manakala ibunya pula adalah Tun Kudu. Datuknya sebelah bapa, iaitu Baginda Mani Purindan adalah seorang keturunan Arab-Parsi dari keturunan Sayidina Abbas di India. Sebelum menjadi bendahara, Tun Mutahir merupakan Temenggung Melaka. Beliau kemudian dilantik menjadi Bendahara oleh Sultan Mahmud Shah, manakala anaknya Tun Hasan menggantikannya sebagai temenggung.

Pada masa pemerintahannya perkembangan ekonomi Melaka berada di kemuncaknya. Hatta pengaruh beliau mengatasi Sultan kerana kelemahan keperibadian Sultan Mahmud. Beliau adalah seorang yang berpegang teguh pada agama dan tidak memperdulikan golongan saudagar yang cuba mengambil faedah akan kelemahan Sultan. Keadaan Melaka pada zamannya adalah sangat aman dan berada di kemuncaknya. Beliau juga menjalankan beberapa penaklukan termasuk ke atas Kelantan dan meluaskan Empayar Melaka, Beliau bertanggung jawab menyelamatkan Melaka daripada tipu helah Portugis terutamanya Lopez de Squiera dimana beliau serta putra-putranya telah menyerang dan mengusir angkatan Portugis pada tahun 1509 M.

Malangnya beliau sekeluarga dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana termakan fitnah golongan pembesar. Dalam keadaan demikian, beliau meminta keluarganya supaya melarikan diri ke negeri Pahang serta bertenang dan menerima ketentuan Allah.

Pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan Johor yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang). Apabila Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).

Tun Abdul Jalil telah menaiki takhta kerajaan dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas telah dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad.

Datuk Penggawa Wan Salleh bin Wan Musa ini adalah merupakan salah seorang kerabat diraja negeri Pahang dan telah dianugerahkan sebagai Datuk Bendahara Bentara Setia Guru oleh Sultan Pahang I, Bendahara Tun Wan Ahmad ibni Al Marhum Bendahara Tun Wan Ali. Disebabkan kekuatan darah keturunan bendahara, maka Tok Wan Salleh telah dilantik sebagai penggawa di Kg. Raja. Kerana ilmu pendekar yang dimilikinya maka Tok Wan Salleh kemudiannya menjadi orang kuat kepada Datuk Sangsura Pahlawan Hj Wan Long.

Sememangnya keturunan Datuk Penggawa Wan Salleh ini adalah berasal usul dari negeri Palembang sebagaimana berasal-usulnya kesultanan negeri Pahang dan Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama yang berkahwin dengan puteri yang bergelar Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri.